MELAKA – Seorang staf sebuah universiti awam di sini direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Melaka selepas disyaki menyalahgunakan wang persatuan sebanyak RM84,500 bagi membayar kos guaman dan perintah mahkamah isterinya, tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu bermula hari ini sehingga 7 September dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Malaysia 2009.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan diiring pegawai SPRM.
Menurut sumber, lelaki itu ditahan pada pukul 5.10 petang semalam ketika hadir di pejabat SPRM Melaka di Alai bagi memberi keterangan.
“Hasil soal siasat, suspek yang merupakan setiausaha Persatuan Staf Akademik di pusat pengajian itu dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mengambil wang persatuan berjumlah RM84,500 bagi tujuan peribadi.
“Suspek disyaki menggunakan wang itu untuk membayar kos guaman dan perintah mahkamah bagi pihak isterinya, pada tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi pemberita turut mengesahkan penahanan tersebut. – MalaysiaGazette
















