KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan tipis ke atas Singapura 2-1 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Malaysia mendahului Singapura 1-0 selepas separuh masa pertama yang menyaksikan tuan rumah mendominasikan perlawanan di mana beberapa serangan gagal dimanfaatkan ke dalam jaring pelawat.
Namun lebih 22,239 penyokong setia bersorak pada minit ke-25 apabila Stuart Wilkin memecah kebuntuan dengan satu rembatan deras menewaskan penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud selepas menyambut hantaran lambung Endrick dos Santos.
Bersambung babak kedua, Wilkin terus menjadi arkitek untuk gol kedua Malaysia menerusi gerakan daripada sebelah sayap kanan negara pada minit ke-54 sebelum hantaran lintangnya ditampan kemas Figueiredo ke gawang pelawat untuk meletakkan skuad negara berkelebihan dua gol.
Harimau Malaya bagaimanapun tersentak selepas Haziq Nazli yang jarang diuji pada perlawanan itu tewas pada minit ke-71 hasil rembatan kencang pemain gantian, Ilhan Fandi Ahmad dari luar kotak penalti.
Skuad negara kembali mengemaskan kembali asakan dan mencipta beberapa peluang untuk mendapatkan gol ketiga namun peluang gagal diterjemahkan kepada gol yang menyaksikan kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Sementara itu, kemenangan ke atas seteru seberang tambak itu menyaksikan Cklamovski melakar kemenangan ketiga daripada empat perlawanan selepas menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 sebelum ini.
Keputusan positif ini pasti memberi tonik terbaik buat anak buah Cklamovski yang bakal berdepan ujian sukar menentang pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin ini. – MalaysiaGazette
















