ALOR GAJAH – Seorang bapa merayu bantuan orang ramai untuk mengumpulkan dana sebanyak RM220,000 bagi kos rawatan dan ubat kanser saraf tahap empat dihidapi anak lelakinya yang masih kecil sejak Januari lalu.
Pekerja penyelenggaraan, Yuraimi Yusof, 44, dan isteri, Noranizawaty Suliman, 35, sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengumpul baki wang berkenaan daripada keseluruhan kos sebanyak RM350,000 buat anak keempatnya itu, Muhammad Aqra Rizki Yuraimi, 5.
Walaupun telah berjaya mengumpul RM130,000 hasil sumbangan orang ramai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), isterinya terpaksa tinggal berjauhan untuk bekerja di kantin sebuah politeknik di Johor bagi menampung perbelanjaan itu.
“Aqra memerlukan lima botol ubat Qarziba Beta berharga RM350,00 untuk menjalani rawatan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba) yang sepatutnya bermula pada Ogos lalu namun ditangguhkan kerana waktu itu kewangan yang belum mencukupi.
“Tapi mujurlah akhirnya hasil bantuan orang ramai dapatlah kami kumpul RM130,000 bagi rawatan pusingan pertama untuk dua botol ubat namun masih kekurangan lagi kos untuk tiga botol,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Rembia di sini hari ini.

Menurutnya, lebih memeritkan apabila dia terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja penyelenggaraan demi menguruskan anak-anak termasuk kekerapan membawa Muhammad Aqra ke Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) di Cheras, Kuala Lumpur.
“Mujurlah, empat lagi anak masing-masing berusia 11, 10, 8, 5, 3 seolah-olah sangat memahami ujian Allah ini walaupun sayu hati ini bila Aqra sering bertanya bila dia boleh mandi kolam macam kanak-kanak lain.
“Sampaikan anak-anak sanggup korbankan aktiviti luar dan hanya bermain di dalam rumah, tiada lagi jalan-jalan di pusat beli belah kerana faktor kesihatan Aqra selain perlu berjimat untuk kegunaan rawatan Aqra,” katanya sebak.

Mohd. Noor Helmy menyantuni Yuraimi di rumah keluarganya di Kampung Rembia, Alor Gajah.
Yuraimi berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila pertemuannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem telah membuka jalan untuk merayu sumbangan orang ramai.
Malah jelasnya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ada membantu namun jumlah baki RM220,00 masih belum mencukupi.
“Ada masanya saya terpaksa membawa Aqra ke HPKK menaiki bas sahaja kerana jika perlu menyewa kereta kosnya akan menjadi lebih tinggi,” katanya menyeka air mata.

Muhammad Aqra Rizki Yuraimi, 5 tahun (kiri) memerlukan dana sebanyak RM220,000 bagi kos rawatan dan ubat kanser saraf tahap empat dihidapinya sejak Januari lalu.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan juga membantu memanjangkan kes berkenaan kepada MAIM dan mereka akan mendapat bantuan RM500 sebulan selain bantuan JKM.
Selain itu, jelasnya, pemilik bengkel kenderaan yang juga aktivis masyarakat, Shikh Muhammad Makhdad Haron juga telah menyatakan kesediaannya menjual sebuah kereta terpakai bagi memudahkan Yuraimi menguruskan anak-anaknya itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam 04024029371297 atas penama Yuraimi Yusof atau menghubunginya di talian 018-7636205. – MalaysiaGazette
















