GAMBAR HIASAN

MELAKA – Negara-negara ASEAN bertekad memperkukuhkan kerjasama serantau dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

Komitmen itu menjadi agenda utama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-19 (AMMTC) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang akan berlangsung selama lima hari di Melaka mulai esok hingga 12 September.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad, berkata, Melaka amat berbesar hati apabila dipilih sebagai tuan rumah acara berprestij itu yang akan disertai lebih 300 delegasi antarabangsa di beberapa lokasi di bandaraya Melaka.

“Negeri Melaka amat berbesar hati memainkan peranan penting dalam menyokong kerjasama serantau untuk menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Ini termasuklah pemerdagangan manusia, jenayah siber, keganasan, penyeludupan senjata api, pengubahan wang haram dan penyeludupan migran.

“Kami percaya penganjuran AMMTC Ke-19 ini akan mengukuhkan hubungan Melaka dengan negara-negara ASEAN dan rakan dialog, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, AMMTC merupakan sebuah platform yang diwujudkan sejak tahun 1997 bagi menerajui usaha negara-negara ASEAN dalam memerangi pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.

“Mesyuarat kali ini melibatkan kesemua 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Pada masa yang sama, ia turut menjadi peluang besar untuk mempromosikan Melaka di mata dunia sebagai destinasi mesyuarat dan pelancongan berkelas dunia,” katanya lagi.

Antara negara yang turut hadir ialah Timor-Leste sebagai negara pemerhati, selain Pengerusi Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Ketua Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri Negara-Negara Anggota ASEAN (DGICM) serta Sekretariat ASEAN.

Negara rakan dialog seperti China, Jepun dan Korea juga akan mengadakan sesi konsultasi bersama AMMTC.

Azhar berkata, fokus utama mesyuarat kali ini adalah memperkukuh kerjasama serantau dalam menyelaras dasar, undang-undang, perkongsian maklumat dan latihan bersama bagi meningkatkan keupayaan menangani jenayah yang kian mencabar.

“Delegasi akan mula tiba esok, manakala majlis perasmian dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa ini.

“Setakat ini, kerajaan negeri berpuas hati dengan persiapan bagi menjelang acar esok yang berada pada tahap 90 peratus,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast