Dua kanak-kanak ditemui lemas selepas kenderaan dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson pada 4 September 2025.

SEREMBAN – Bedah siasat mengesahkan punca kematian dua beradik dalam kejadian kereta menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas Linggi, Port Dickson pada 4 Sept disebabkan lemas dan tiada unsur kekerasan ke atas mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata bedah siasat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan adik lelakinya enam tahun dilakukan pada 5 Sept di Hospital Port Dickson.

Beliau berkata siasatan masih diteruskan dan 15 keterangan saksi diambil termasuk bekas isteri kepada bapa dua beradik itu, yang merupakan ibu kanak-kanak tersebut serta beberapa individu di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

“Status pengislaman kanak-kanak tersebut masih dalam siasatan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Siasatan memerlukan sedikit masa lagi untuk dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/09/04/tragedi-memancing-dua-kanak-kanak-lemas-kereta-menggelongsor-ibu-bapa-terselamat/

Alzafny berkata dua suspek iaitu lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu dan wanita berumur 41 tahun masih direman hingga 11 Sept bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan menyeluruh dan telus sedang dilakukan dengan mengambil kira keterangan saksi, bukti forensik dan elemen lain sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pendakwa raya.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai itu pada 11.45 pagi, 4 Sept dengan dua kanak-kanak yang beralamat di Shah Alam, Selangor berada dalam kenderaan tersebut.

JHEAINS pula memaklumkan menjalankan semakan bagi menentukan status agama dua kanak-kanak itu selepas menerima permohonan daripada polis untuk berbuat demikian.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast