Sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan suspek yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, ditahan reman selama tujuh hari mulai Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 SEPTEMBER 2025.

IPOH – Sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan suspek yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, dekat sini, ditahan reman selama tujuh hari mulai Isnin.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah ke atas suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret Ipoh.

Terdahulu, kesemua suspek dibawa masuk ke kamar mahkamah dengan diiringi anggota polis sehingga proses permohonan reman selesai.

Difahamkan, siasatan ke atas seorang suspek wanita dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara lapan suspek lelaki pula akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad media melaporkan, enam individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat dalam kenderaan lelaki yang menikam dan menembak seorang anggota polis.

Dalam kejadian pada jam 1.15 pagi itu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai.

Hasil pemeriksaan pada kenderaan yang dipandu suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan, manakala suspek melarikan diri bersama pistol milik anggota polis.

Proses bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 62 tahun itu mendapati punca kematian mangsa akibat kelemasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast