KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mendesak pihak pengurusan Suria KLCC memohon maaf secara terbuka kepada aktivis masyarakat, Tian Chua berhubung kekecohan yang tercetus semalam.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, tindakan mengasari seorang tokoh yang telah berusia dan hanya memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin amat memalukan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam menambah, apatah lagi kejadian itu berlaku di premis milik syarikat besar yang sepatutnya menghormati kebebasan rakyat Malaysia.

“Saya berasa amat kesal dengan tindakan kasar pasukan keselamatan KLCC yang menghalang Tian Chua serta peserta lain melalui ruangan KLCC hanya kerana mereka memakai keffiyeh dan membawa bendera Palestin.
“Lebih mendukacitakan, walaupun telah dijelaskan mereka sekadar ingin pulang selepas himpunan, pihak keselamatan tetap berkasar dan bertindak tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamed Sukri, alasan kononnya Tian Chua membawa sebatang kayu yang dijadikan batang bendera adalah tidak masuk akal.
Sedangkan, jelasnya, berdasarkan kenyataan Tian Chua, pihak keselamatan Suria KLCC dari awal telah melarang pemakaian keffiyeh, membawa sepanduk dan bendera Palestin dibawa masuk ke premis KLCC.
“Kami juga mengingatkan semua pihak agar tidak tunduk kepada tekanan luar sehingga sanggup menindas rakyat sendiri yang menunjukkan solidariti kepada perjuangan Palestin,” katanya.
Semalam, tular sebuah video memaparkan aktivis kemanusiaan dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bersama beberapa aktivis yang membawa bendera Palestin diarahkan keluar oleh pihak pengurusan.
Menerusi perkongsian di Instagram, kumpulan terbabit dipercayai baru selesai menyertai perhimpunan aman solidariti Palestin di sekitar ibu kota sebelum singgah di Suria KLCC.
Mereka turut dilihat melaungkan slogan Free Palestin sambil membawa bendera sebelum dihampiri pengawal keselamatan.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Suria KLCC menafikan dakwaan tindakan yang diambil itu mempunyai kaitan dengan sebarang motif politik.
Sebaliknya, insiden itu berlaku kerana pengunjung berkenaan cuba membawa masuk sebatang kayu panjang ke dalam premis walaupun telah diminta untuk tidak melakukan sedemikian. – MalaysiaGazette
















