Seorang lelaki memegang gambar pemandu teksi motosikal atau Gojek yang meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan polis. - AFP

KUALA LUMPUR – Gelombang protes besar-besaran yang tercetus di Indonesia sejak Ogos lalu memberi isyarat jelas tentang ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan negara itu dan dalam masa sama dilihat sebagai amaran kepada Malaysia untuk tidak memandang ringan isu-isu domestik.

Protes yang bermula selepas kematian seorang penghantar makanan, Afnan Kurniawan, akibat dirempuh kenderaan taktikal polis Brimob, merebak pantas ke seluruh Indonesia selepas kejadian itu tular di media sosial.

Insiden tersebut menjadi simbol ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa pihak berkuasa.

Demonstrasi yang tercetus di bandar besar seperti Jakarta, Surabaya, Jambi dan Makassar itu tidak sekadar menuntut keadilan bagi Afnan, sebaliknya mendedahkan isu lebih besar termasuk rasuah berleluasa, jurang pendapatan melebar, dan janji reformasi kerajaan yang gagal ditunaikan.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, senario di Indonesia tidak boleh dipandang ringan oleh Malaysia kerana isu yang sama turut wujud di negara ini.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad

“Rasuah, ketidakadilan sosial dan jurang pendapatan adalah isu sejagat. Malaysia pernah menyaksikan perhimpunan besar seperti Bersih dan Blackout 505. Protes di Indonesia ini harus menjadi pengajaran awal kepada kerajaan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Syahruddin, dengan demografi yang hampir sama khususnya populasi muda yang aktif di media sosial, Malaysia berisiko berdepan “contagion effect”, iaitu pengaruh gerakan protes dari negara jiran yang boleh mencetuskan mobilisasi rakyat tempatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan Malaysia segera memperkukuh tadbir urus, ketelusan, dan saluran komunikasi dengan rakyat agar ketidakpuasan tidak membara menjadi protes jalanan.

“Introspeksi menyeluruh amat penting. Kita perlu memperkukuh institusi keadilan, meneliti semula Akta Perhimpunan Aman, dan memastikan siasatan kes-kes berprofil tinggi dijalankan dengan telus.

“Rakyat mesti diyakinkan bahawa suara mereka didengar,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.

Menurut beliau lagi, kestabilan awam tidak hanya bergantung kepada undang-undang, tetapi juga kepada psikologi kolektif rakyat.

Jelasnya, apabila rakyat merasakan suara mereka diketepikan, ia boleh mencetuskan kemarahan besar-besaran.

Ibarat bara kecil tidak ditangani, ia boleh meletus menjadi kebangkitan massa, justeru Malaysia perlu belajar daripada apa yang berlaku di Indonesia, sebelum terlambat, ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast