KUALA LUMPUR – Sebuah bot utama yang membawa sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) diserang sebuah dron ketika berlayar di perairan Tunisia.
Bot dikenali sebagai Family Boat itu berlayar di bawah bendera Portugal dengan enam penumpang termasuk ahli Jawatankuasa Pemandu bersama kru, namun kesemua mereka dilaporkan selamat.
Menurut kenyataan GSF, serangan berkenaan menyebabkan kebakaran yang merosakkan dek utama serta ruang simpanan di bawah dek.
“Siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan sebaik sahaja diperoleh.
“Tindakan agresif ini bertujuan menakut-nakutkan serta menggagalkan misi, namun ia sama sekali tidak akan melemahkan semangat para sukarelawan,” katanya hari ini.
Pihaknya turut menegaskan misi aman memecahkan kepungan Gaza tetap diteruskan dengan penuh tekad dan iltizam.
Pendakwah Rahmat Ikhsan Sofyan atau PU Rahmat telah memaklumkan mengenai kejadian itu menerusi hantaran di Facebook sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan pagi ini.
Dalam rakaman video yang dikongsi akaun Instagram Sumud Nusantara, seorang penumpang di bot lain sempat menyaksikan letupan berlaku di hujung Family Boat sebelum kebakaran marak dan mencemaskan peserta flotila. – MalaysiaGazette
















