PUTRAJAYA – Lebih RM17.58 juta aset dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan empat individu termasuk pegawai kanan gred Jusa B Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pembekuan itu membabitkan 11 akaun peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham bagi siasatan rasuah berkaitan perolehan projek teknologi maklumat (IT).
Turut disita wang tunai berjumlah RM1,159,160 dan 12,300 Euro, 9,920 pound sterlling dan 24,280 Singapore Dolar, lapan telefon bimbit.
Dua kereta mewah berjumlah RM650,000 termasuk koleksi beg tangan dan kasut berjenama dianggarkan bernilai RM100,000 juga dirampas.
“Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 16 individu termasuk empat yang ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, tiga individu termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu, direman empat hari bermula 26 Ogos.
Azam dilaporkan berkata, turut ditahan seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014. – MalaysiaGazette
















