ALOR GAJAH – Sebanyak 335 kenderaan perdagangan dikenakan 648 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bermula 1 September sehingga semalam.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 2,034 kenderaan barangan diperiksa di beberapa kawasan tumpuan sekitar negeri ini.

“Sebanyak 335 buah kenderaan perdagangan yang dikenakan 648 notis melibatkan 150 kenderaan barangan berat kurang daripada 7.5 tan, 168 lebih 7.5 tan, masing-masing lapan bas ekspres dan persiaran serta sebuah e-hailing.
“Tujuh kertas siasatan kes lebih muatan serta dua kertas siasatan bagi perkhidmatan awam atas kesalahan tiada senarai penumpang dan langgar syarat lesen pengendali juga dibuka di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya.

Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan
di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Alor Gajah, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai pemeriksaan kenderaan perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini hari ini.
Lapan kenderaan barangan membawa muatan lebih adalah bahan binaan, sawit, baja dan dedak ayam yang mana kamitidak akan berkompromi khususnya melibatkan kenderaan berat demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Ini termasuklah empat kesalahan utama dilakukan kenderaan barangan iaitu cermin gelap (28), tayar (20), lampu (15), ubahsuai kenderaan (9) selain pelbagai kesalahan teknikal (46) menjadikan keseluruhan 118 kes,” katanya.
Tegasnya, semua pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan perlulah sentiasa mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta 715 dan semua kaedah-kaedah di bawahnya. – MalaysiaGazette
















