KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Muhammad Shafi mengecam keras tindakan ganas yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru hari ini di sini.
Beliau menegaskan, kejadian itu bukanlah cerminan sebenar penduduk kampung yang sebahagian besar mahu isu pampasan dan penempatan semula diselesaikan secara damai, sebaliknya dipercayai didalangi penghasut politik yang mengambil kesempatan untuk meniupkan api kebencian.
“Serangan ini satu perbuatan melampau dan tidak bertamadun. Hak berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan, tetapi apabila ada pihak yang cuba menghasut, ia akhirnya menjerumus kepada keganasan,” katanya dalam di laman sosial beliau hari ini.
Terdahulu, Sulizmie dilapor cedera di kepala selepas dipercayai dibaling batu oleh individu tidak dikenali ketika cuba mengawal keadaan, kekecohan tercetus selepas sekumpulan kecil cuba merempuh kawalan polis untuk masuk ke kawasan operasi.
Menurut Saifuddin, perbezaan pandangan mengenai pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan keganasan, apatah lagi apabila penduduk sendiri terperangkap dalam permainan politik sesetengah pihak.
“Cukuplah merosakkan keamanan negara. Kita tidak mahu budaya ganas menggantikan perbincangan dan rundingan. Penduduk berhak bersuara, tetapi jangan biarkan mereka diperalatkan,” tegasnya.
Beliau berkata, isu pampasan, penempatan semula dan perbincangan dengan pemaju wajar ditangani di meja rundingan mankala polis pula hanyalah menjalankan tugas mengikut arahan mahkamah dan tidak wajar dijadikan sasaran.
Saifuddin turut memberi amaran agar masyarakat tidak mudah termakan naratif mengelirukan di media sosial yang sengaja disebarkan bagi menyalakan kemarahan terhadap pihak berkuasa.
“Negara kita dibina atas undang-undang, bukan emosi. Jangan kerana segelintir penghasut yang mahu mengaut keuntungan politik, akhirnya penduduk yang menanggung akibatnya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
OCPD Dang Wangi cedera kena baling batu, operasi Kg Sungai Baru semakin tegang
















