Pakar patalogi HPP turut hadir di lokasi bagi membuat pemeriksaan sebelum mayat dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

GEORGE TOWN – Lelaki yang maut selepas mengamuk dan menyerang keluarganya di kediaman mereka di Gelugor di sini hari ini disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, punca kematian itu dikenal pasti hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Doktor patalogi mengesahkan punca kematian lelaki itu disebabkan pulmonary oedema atau paru-paru berair sekaligus menolak sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, lelaki berusia 48 tahun itu juga mempunyai rekod sakit mental dan bertindak agresif sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga sebelum rebah ketika cuba ditenangkan.

“Pasukan polis yang tiba di lokasi mendapati si mati dalam keadaan meniarap dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan HPP,” jelasnya.

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang lelaki dipercayai orang kelainan upaya (OKU) maut selepas mengamuk dan menyerang ibunya dalam kejadian di rumah mereka di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.58 pagi, lelaki itu dikatakan mengamuk di kediaman keluarganya sebelum bertindak memukul ibunya dengan tangan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki maut selepas mengamuk, serang keluarga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast