KULAI – Lembaga Tabung Haji (TH) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang RM170,000 kepada Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong 1 di sini untuk membeli van jenazah baharu.
Sumbangan berkenaan disalurkan susulan van jenazah surau berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan selepas dilarikan beberapa lelaki yang mencurinya pada 4 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, daripada jumlah itu RM100,000 disumbangkan TH manakala RM50,000 daripada MAIWP.
“Selain sumbangan ini, Surau Nurul Haq menerima sumbangan awal daripada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebanyak RM20,000.
“Semua sumbangan adalah bertujuan untuk membeli van jenazah baharu bagi kegunaan penduduk Kampung Sungai Sayong 1 dan Sungai Sayong 2. Tidak perlu baiki, beli baharu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan itu di surau berkenaan hari ini.
Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi turut hadir.
Selain itu, Mohd Na’im berkata, sebanyak RM20,000 pula disumbangkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang dikhaskan bagi kegunaan surau berkenaan mengadakan program mengimarahkam surau.
Minggu lalu, portal ini melaporkan sebuah van jenazah jenis Toyota Hiace milik surau berkenaan dicuri antara pukul 12.01 tengah malam hingga 2 pagi, 4 September lalu.
Kejadian curi itu disedari selepas bilal surau berkenaan didatangi polis pada pukul 4.30 pagi dan memaklumkan van jenazah berkenaan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuhraya Skudai, Johor Bahru.
Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang dipercayai memandu van jenazah berkenaan kemudian ditahan polis di lokasi kemalangan, kira-kira pukul 2.30 pagi.
Sementara beberapa lelaki lain yang dipercayai rakan suspek masih diburu.- MalaysiaGazette
















