Seramai 150 orang wakil pelajar hadir membuat perhimpunan aman bagi membantah cadangan pemansuhan matrikulasi oleh Umany di hadapan Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan tunggal ke universiti awam sebagai bersifat elitis dan tidak realistik.

UMNOSiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan, cadangan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) boleh menjejaskan akses pendidikan tinggi khususnya bagi pelajar luar bandar dan golongan B40 yang melihat matrikulasi sebagai laluan lebih cepat dan mampu milik ke menara gading.

Pengerusinya, Hsan Fiqri Mubin berkata, langkah itu juga akan mengganggu kestabilan perancangan akademik pelajar yang telah memilih laluan matrikulasi sebagai jalan ke universiti.

“Ramai pelajar luar bandar berdepan kekangan dari segi sumber, kemudahan pembelajaran dan sokongan akademik. Program matrikulasi memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan sebelum melangkah ke universiti, sekali gus merapatkan jurang bandar dan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, program matrikulasi merupakan antara laluan penting selain STPM, Diploma, Asasi dan A-Level yang mana semuanya mempunyai kelebihan tersendiri dan berperanan memberi ruang kepada pelajar dengan latar belakang berbeza untuk melanjutkan pengajian.

Sehubungan itu, UMNOSiswa UiTM mahu kepelbagaian laluan pra-universiti  dipertahankan dan diperkukuhkan demi menjamin keadilan sosial serta akses pendidikan tinggi untuk semua rakyat Malaysia.

“Pendidikan tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana satu kelompok atau aliran semata-mata kerana realiti kemampuan pelajar berbeza-beza mengikut latar belakang masing-masing,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast