Oleh: Ismail Hashim Yahaya
KAMPUNG Sungai Baru, sebuah kawasan di tengah-tengah ibu kota kini menjadi medan pertembungan naratif yang membingungkan dan membakar emosi rakyat. Di media sosial, imej-imej pengusiran penduduk, tangisan warga emas dan rumah yang dirobohkan telah membentuk satu persepsi yang sukar digugat: bahawa kerajaan kini menindas orang Melayu, merampas tanah warisan dan menggunakan kekerasan sebagai alat pelaksanaan kerja dan dasar.
Namun di sebalik visual yang menyentuh hati itu, tersembunyi satu lapisan sejarah dasar yang jarang disentuh dan satu kegagalan komunikasi yang membiarkan naratif lawan berkembang tanpa tandingan. Apa yang tidak diketahui oleh ramai ialah pelan pembangunan semula Kampung Sungai Baru bukanlah cetusan Kerajaan Madani, sesuatu yang harus diperbetulkan oleh jentera kerajaan.
Ia bermula seawal tahun 2016, ketika sebahagian besar penduduk sendiri mencadangkan agar kawasan mereka diperbaharui demi masa depan anak cucu. Proses rundingan telah berlangsung bertahun-tahun, dan akhirnya 66.77% pemilik asal bersetuju dengan pelan pembangunan yang menjanjikan rumah baharu, nilai hartanah yang meningkat dan pemulihan tanah rizab Melayu dalam bentuk yang lebih lestari.
Namun fakta-fakta ini tidak pernah menjadi naratif utama. Ia tenggelam dalam lautan emosi dan visual yang lebih mudah dikongsi, lebih mudah dipercayai dan lebih mudah dimanipulasi. Kelewatan kerajaan dalam menjelaskan konteks ini telah membuka ruang kepada naratif alternatif yang lebih dramatik dan lebih mengakar dalam imaginasi awam.
Media sosial yang sepatutnya menjadi medan komunikasi dua hala telah menjadi pentas dominan bagi pempengaruh dan aktivis yang membingkai isu ini sebagai simbol penindasan sistemik terhadap orang Melayu. Klip video yang menunjukkan polis memecah masuk rumah, penduduk dihalau secara paksa dan solat hajat di jalanan telah menjadi teks visual yang membentuk makna. Dalam pengwajahan awam, imej-imej ini bukan sekadar rakaman peristiwa tetapi lambang kezaliman yang sukar ditebus dengan fakta.
Lebih membimbangkan, naratif ini tidak hanya menjejaskan persepsi terhadap isu Kampung Sungai Baru. Ia telah mula meresap ke dalam wacana dasar yang lebih besar khususnya RUU Akta Pembaharuan Bandar atau RUU 2025 yang dijadualkan ditangguhkan pada sidang akan datang pada bulan Oktober selepas menerima bantahan hebat daripada pembangkang dan segelintir ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Jika naratif penindasan tidak diperbetulkan, RRU URA akan dilihat sebagai alat rampasan sistemik yang menyasarkan komuniti Melayu bandar. Ia akan menjadi simbol pengusiran terancang, bukan dasar pemulihan bandar yang berasaskan keadilan dan keterangkuman. Persepsi ini, jika tidak ditangani segera, akan menjejaskan legitimasi Kerajaan Madani dalam melaksanakan dasar-dasar pembaharuan yang lebih luas.
Di sinilah terletaknya kelemahan paling ketara kerajaan: ketiadaan perancang dan pembangun naratif yang mampu menjangkakan, mengimbangi dan menangkis naratif lawan sebelum ia menjadi arus utama. Kementerian Komunikasi, yang sepatutnya menjadi pusat kawalan naratif, gagal bertindak sebagai Narrative Command Centre.
Tiada pelan komunikasi lintas kementerian, tiada jurucakap yang tampil dengan empati dan kejelasan dan tiada usaha untuk menjelaskan warisan dasar yang diwarisi dari pentadbiran terdahulu. Kelewatan ini bukan sahaja membiarkan media sosial menjadi medan dominan lawan tetapi juga membolehkan pembangkang memainkan naratif “Melayu terpinggir” secara senyap tetapi berkesan.
Apa yang diperlukan sekarang bukan sekadar penjelasan bahkan pemulihan naratif yang menyeluruh. Kerajaan perlu tampil dengan keberanian untuk menegaskan bahawa pelan pembangunan Kampung Sungai Baru bukanlah dasar baharu tetapi dasar berterusan yang sedang diperbaiki. Ia perlu menjelaskan evolusi dasar tersebut, termasuk usaha kerajaan Madani untuk memperbaiki proses rundingan, melindungi hak penduduk dan memastikan pembangunan yang beretika.
Penegasan ini penting bukan sahaja untuk membetulkan persepsi lebih jauh lagi untuk membina semula kepercayaan awam terhadap dasar pembaharuan bandar. Lebih daripada itu, kerajaan perlu menubuhkan satu unit naratif strategik di bawah Kementerian Komunikasi yang bertindak sebagai pusat early warning, counter-narrative dan narrative intelligence.
Unit ini perlu dilengkapi dengan kepakaran dalam semiotik, psikologi komunikasi dan analisis media sosial untuk menjangkakan isu-isu yang berpotensi dimanipulasi. Ia perlu menyediakan counter-narrative kits untuk kementerian lain sebelum isu meletus dan menyelaras respons naratif secara bersepadu.
Tanpa mekanisme ini, kerajaan akan terus terperangkap dalam mod reaktif yang membiarkan lawan menentukan makna dan arah wacana. Dalam masa yang sama, latihan “Narrative War-Gaming” perlu diperkenalkan untuk menteri dan jurucakap kerajaan. Latihan ini bukan sekadar simulasi komunikasi krisis, tetapi medan untuk memahami bagaimana naratif boleh dimanipulasi, bagaimana visual membentuk makna, dan bagaimana empati boleh menjadi alat strategik.
Jurucakap perlu dilatih bukan sahaja untuk menyampaikan fakta tetapi untuk membina naratif yang menyentuh hati, membina makna bersama, dan meneguhkan legitimasi dasar.Adalah dirasakan menteri-menteri kanan UMNO dalam Kerajaan Madani lebih berpengalaman menguruskan perkara ini. Menteri-menteri DAP harus belajar daripada isu ini dalam berhadapan dengan bagaimana mengurus naratif sentimen yang semakin merebak di media sosial sekarang.
Pemulihan imej juga perlu menjadi keutamaan. Imej kekerasan yang tersebar perlu digantikan dengan visual rundingan, penyelesaian dan pemulihan. Kisah individu yang mendapat manfaat daripada pembangunan semula perlu diketengahkan sebagai wajah baharu Kg Sungai Baru. Naratif pembangunan perlu dibingkai semula sebagai usaha membina semula warisan Melayu dengan maruah dan masa depan, bukan sebagai pengusiran atau rampasan.
Dalam dunia yang didominasi oleh visual dan emosi, pemulihan makna memerlukan lebih daripada fakta di mana ia memerlukan simbol, kisah dan kehadiran yang menyentuh. Kampung Sungai Baru bukan sekadar isu tempatan. Ia adalah cerminan bagaimana naratif boleh membentuk persepsi, bagaimana komunikasi boleh menentukan legitimasi dan bagaimana kelewatan boleh menjadi kelemahan yang membahayakan dasar. Ia adalah panggilan untuk Kerajaan Madani bangkit bukan sekadar menjelaskan tetapi menyusun semula cara kita berfikir tentang komunikasi dan kuasa makna.
Naratif bukan hanya kata-kata lebih mendalam lagi ia adalah tindakan strategik yang membina masa depan. Dalam menghadapi cabaran ini, kerajaan tidak boleh lagi membiarkan naratif dibentuk oleh pihak lawan. Ia perlu tampil dengan keberanian, kejelasan, dan kepekaan untuk membina semula kepercayaan awam. Kampung Sungai Baru adalah medan ujian dan jika kerajaan berjaya memulihkan naratifnya, ia bukan sahaja akan menyelamatkan satu dasar bahkan membuka jalan kepada pembaharuan yang lebih besar.
Masa depan dasar pembaharuan bandar bergantung kepada keupayaan kita untuk memahami bahawa dalam dunia hari ini, siapa yang mengawal naratif, mengawal makna. Dan siapa yang mengawal makna, mengawal masa depan.

Penulis adalah penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa















