Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Sasaran untuk Pas dan Perikatan Nasional (PN) menggandakan kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) turut didorong rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika ini, terdapat kelompok di dalam UMNO sendiri yang berasa tidak selesa dengan tindakan agresif DAP dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, jelasnya, pemimpin MCA dan MIC pula secara terang-terangan sering mengkritik DAP serta melahirkan rasa tidak puas hati terhadap UMNO kerana berasakan dipinggirkan oleh UMNO di dalam BN.

“Jadi kita melihat ini antara potensi yang ada yang kita boleh kembangkan lagi, dan tidak mustahil berdasarkan indikator tersebut hasrat untuk kita menggandakan kemenangan kerusi Parlimen pada PRU-16 boleh dicapai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Abdullah melahirkan keyakinan parti itu mampu memenangi 80 kerusi Parlimen PRU-16 yang mana turut dijangkakan beliau berlangsung tahun depan.

Sebelum ini, Mohd Amar turut menjangkakan Pas mampu memenangi 40 kerusi Parlimen pada PRU-15, yang mana parti itu kemudiannya berjaya menawan 43 kerusi, sekali gus menjadi parti dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar di negara ini ketika ini.

Menjelaskan lebih lanjut sasaran Mohd Amar itu, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, apa yang dimaksudkan adalah menggandakan kerusi Parlimen yang dimenangi keseluruhan PN, bukan oleh Pas semata-mata.

Sehubungan itu, katanya, setiap parti komponen PN perlu bekerja keras termasuk memperkukuhkan gabungan politik tersebut dalam mencapai sasaran berkenaan.

Sementara itu, ditanya berapa jumlah sebenar kerusi Parlimen yang disasarkan untuk dimenangi Pas pada PRU-16, Tuan Ibrahim berkata: “Nanti dulu, itu rahsia. Point (fokus) besar bukan angka, tetapi gerak kerja.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast