Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera dirempuh dalam aksi mengejar bot pancung yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, kira-kira jam 8 malam tadi.

ALOR GAJAH – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera dirempuh dalam aksi mengejar bot pancung yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejadian jam 8 malam berlaku berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan melibatkan anggota berpangkat Laskar Kanan berumur 34 dan 36 tahun.

Menurutnya, insiden bermula apabila Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira jam 8 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) yang dipercayai menuju ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.

“Susulan itu, aset Bot Ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaanOp Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.

“Namun selepas menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar dengan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keadaan bot Maritim Malaysia yang rosak dirempuh dalam aksi mengejar bot pancung yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, kira-kira jam 8 malam tadi.

Tambahnya, bot pancung berkenaan berjaya meloloskan diri dan kejadian mengakibatkan seorang anggota cedera di bahagian hidung, manakala seorang lagi cedera di kaki dan tangan akibat hentakan.

“Kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

“Bot yang membawa PATI itu dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan,” katanya.

Salehuddin berkata, operasi pengesanan serta tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan yang terlibat.

“Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.

“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa Maritim berisiko tinggi, kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pendaratan PATI diminta menyalurkannya segera kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau hubungi talian kecemasan 999. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast