ALOR GAJAH – Cubaan tiga lelaki termasuk seorang Orang Asli mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) gagal apabila jenayah itu berjaya dipatahkan polis di Jalan Besar Kemuning-Gadek di sini awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu disedari sepasukan anggota ronda cegah jenayah apabila ternampak sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pasukan mendapati tiga lelaki sedang asyik memotong kabel TM sebelum mengubungi pusat kawalan daerah untuk bantuan kereta peronda.

“Apabila menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri menaiki kereta Proton Wira sejauh lima kilometer sebelum terbabas di Jalan Keru Kemuning.
“Serbuan kemudian berjaya menahan seorang lelaki Orang Asli berusia 29 tahun manakala dua lagi rakan sejenayahnya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azrul, susulan itu polis merampas sebuah kereta Proton Wira, anak kunci, dompet, dua unit pemotong wayar, 61 batang kabel pendek serta 10 gelung kabel bertulisan Telekom Malaysia Berhad.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan cara memotong kabel sebelum dimuatkan ke dalam kereta.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya sambil menambah suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek akan dituduh esok di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 186 KK dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















