KUALA LUMPUR – Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) memandang serius insiden yang berlaku di sebuah restoran baru-baru ini, apabila seorang wanita hamil dan suaminya menjadi mangsa kekasaran setelah menegur seorang individu yang merokok di kawasan larangan.
Tegasnya, bagi mengelakkan tindakan tidak bertanggungjawab perokok dan seterusnya membawa kepada insiden lebih buruk, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memperkukuh penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan dengan tindakan yang lebih tegas dan konsisten.
Pada masa yang sama, pengusaha restoran, para pekerja serta masyarakat umum perlu bersama-sama memainkan peranan dengan menegur secara berhemah dan melaporkan sebarang pelanggaran larangan merokok melalui talian aduan WhatsApp 010-8608949 atau jomlapor.com.
“Perbuatan merokok di premis makanan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah jelas membahayakan kesihatan awam, khususnya ibu mengandung, bayi dalam kandungan, dan kanak-kanak kecil.
“Kajian menunjukkan asap rokok pasif meningkatkan risiko kelahiran pramatang, berat lahir rendah serta penyakit pernafasan seperti asma. Kesihatan dan nyawa mereka tidak wajar digadai akibat keingkaran segelintir pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, seluruh masyarakat perlu berganding bahu memastikan premis makanan bebas daripada asap rokok dan vape.
Sikap berani menegur, melapor, dan menolak normalisasi merokok adalah kunci kepada perubahan demi kesejahteraan dan masa depan yang lebih sihat untuk rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















