Azalina Othman Said

MELAKA – Kerajaan setakat ini masih tidak berganjak daripada pendirian berhubung prinsip rogol statutori meskipun terdapat cadangan atau kritikan supaya undang-undang berkaitannya diteliti semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia bertepatan dengan piawaian antarabangsa yang meletakkan perlindungan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun sebagai keutamaan.

Menurutnya, perlindungan kanak-kanak di Malaysia turut diperkukuhkan melalui Akta Kanak-Kanak 2001 serta komitmen kerajaan terhadap Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerjasama dengan UNICEF.

“Kerajaan mempunyai saluran rasmi bagi meneliti sebarang cadangan reformasi undang-undang melalui Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC).

“Kita memang mengkaji banyak undang-undang jenayah tetapi setakat ini kita pegang pada standard antarabangsa iaitu rogol statutori tetap rogol statutori dan saya rasa kita tak akan berganjak daripada perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Townhall Tribunal Antibuli #generasitanpabuli peringkat Melaka dan Negeri Sembilan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Azalina (tengah) selepas merasmikan Townhall Tribunal Antibuli #generasitanpabuli peringkat Melaka dan Negeri Sembilan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka hari ini.

Azalina memberi reaksi itu ketika diminta mengulas cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat agar peruntukan undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya membabitkan kesalahan hubungan seksual dengan kerelaan.

Jelasnya, ia supaya tindakan tidak hanya dikenakan ke atas lelaki, sebaliknya turut dikenakan terhadap pasangan wanita kerana statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kewujudan perundangan kanak-kanak di negara ini juga kerana komitmen kerajaan terhadap perlindungan dan hak kanak-kanak.

“Jadi apa-apa cadangan atau kritikan tetap boleh dikemukakan, tetapi kita akan berpegang kepada prinsip asas rogol statutori,” tegasnya lagi.

Namun begitu, Azalina menegaskan sebarang cadangan perlu dilihat dalam kerangka komitmen antarabangsa dan kepentingan melindungi kanak-kanak termasuk bagi kes rogol statutori yang melibatkan mangsa bawah umur 18 tahun.

Mengulas dakwaan sebahagian besar kes rogol statutori berlaku atas dasar suka sama suka, Azalina  tidak dapat mengulas lanjut kerana perkara itu tertakluk kepada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya tak boleh respon kerana tak dapat data itu dan saya pun tak boleh berikan pendapat kerana dalam perkara ini itu tertakluk pada kuasa PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast