Tertuduh, G. Jayakumar, 63, K. Dachaini, 40 dan J. Lavanyaa, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

MELAKA – Naib Canselor, Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Kaunselor Kolej Universiti Manipal Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membuat hantaran palsu terhadap seorang pelajar institusi itu pada Jun lalu.

Tertuduh, G. Jayakumar, 63, K. Dachaini, 40 dan J. Lavanyaa, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan terhadap Jayakumar dan Lavanyaa, mereka didakwa dengan cara berpakat dan bersubahat dengan Dachaini dalam melakukan hantaran palsu terhadap seorang pelajar lelaki berusia 23 tahun.

Perbuatan itu dilakukan menggunakan kemudahan rangkaian emel rasmi pentadbiran hal ehwal pelajar Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected].

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut pertuduhan, Dachaini didakwa dengan menggunakan kemudahan rangkaian emel rasmi pentadbiran hal ehwal pelajar Kolej Universiti Manipal Malaysia yang boleh diakses melalui pautan [email protected] secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dengan niat sama.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pukul 5.44 petang di Kolej Universiti Manipal Malaysia pada 6 Jun 2025.

Difahamkan, emel tersebut memaklumkan keputusan pihak universiti untuk tidak membenarkan mangsa mewakili institusi itu dalam mana-mana pertandingan e-sukan.

Ia susulan dapatan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemenangan pelajar terbabit sebelum ini dalam pertandingan Mobile Legend dipercayai disebabkan penglibatan pihak luar.

Emel tersebut boleh diakses oleh para pelajar di institusi berkenaan sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati mangsa kerana ia dianggap telah mencemarkan imejnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 beserta syarat tambahan iaitu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Peguam, Harvinderjit Singh dan Farhan Read bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan kesemua mereka masing-masing menanggung ahli keluarga dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah kemudian membenarkan Jayakumar dan Dachaini diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Lavanyaa sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 27 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast