Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hilang wang pencen bulanannya setelah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM60,000 oleh mahkamah apabila didapati bersalah merasuah rakan sekerjanya untuk melepaskan lori lebih muatan tanpa tindakan, tujuh tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Rafi Abd. Rahman, 61, selepas mahkamah mendapati tiada keraguan munasabah ditimbulkan di akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini.

Elesabet dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan tidak berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang terpakai bagi pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Mohd. Rafi didakwa memberi rasuah berjumlah RM3,600 kepada seorang lagi anggota JPJ dalam enam perjumpaan berasingan di JPJ Melaka antara Julai hingga Disember 2018.

Wang itu adalah sebagai upah supaya tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Terdahulu, peguam Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan ia kesalahan pertama anak guamnya, selain perlu menyara isteri dalam situasi pencennya telah disekat.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, memohon hukuman berat kerana rasuah adalah kesalahan serius dan kesalahan itu turut melibatkan kepentingan awam dan hukuman yang rendah tidak akan memberi pengajaran.

Tertuduh hujahnya, telah mengkhianati amanah dengan terlibat dalam sindiket bersama orang awam, orang tengah dan pengusaha lori untuk memastikan pihak JPJ tidak mengambil tindakan terhadap lori berlebihan muatan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal bayar.

Hakim Elesabet turut memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Zulkifli bagaimanapun memohon penangguhan hukuman bagi memfailkan notis rayuan dan mahkamah membenarkan dengan syarat ia difailkan hari ini, manakala jaminan dikekalkan pada RM12,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast