MELAKA – Penganjur tapak perniagaan sementara, Puteri Walk di Pantai Puteri, di sini, menegaskan caj bulanan yang dikenakan kepada peniaga adalah untuk menampung kos penyediaan fasiliti dan pemasaran.
Wakil penganjur, Mohd Yusni Md Yunus berkata, caj sebanyak RM200 itu merangkumi kemudahan asas seperti lampu, kebersihan, kawalan keselamatan tapak dan promosi di sepanjang pantai peranginan pelancongan itu seperti diarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Pembayaran itu juga jelasnya, merangkumi keceriaan dan baik pulih namun tidak termasuk caj penggunaan air dan elektrik.
Menurutnya, perbincangan juga telah diadakan dengan persatuan peniaga namun kecewa kerana cadangan itu tidak disambut baik termasuk saranan MBMB kepada penganjur untuk menyediakan tapak setiap satu bersaiz 10x 10 kaki dengan kaedah khemah.
“Mengikut draf awal, kami mampu menyediakan 74 tapak dan rata-rata mereka bersetuju untuk berpindah sementara ke Puteri Walk berikutan kerja-kerja tambakan laut yang sedang dijalankan ketika ini.
“Hasrat utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi adalah mengutamakan peniaga asal dari kawasan ini,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Yusni berkata, pihaknya telah mengadakan sesi penerangan dan temuduga kepada peniaga yang berdaftar sebelum proses pemindahan bermula pada 9 September lalu.
“Bagaimanapun, terdapat sebahagian kecil peniaga menolak pelan berkenaan kerana sudah terlalu selesa berniaga di lokasi lama tanpa dikenakan bayaran sewa dan lesen.
“Itulah punca perkara ini ditentang tentangan sedangkan MBMB sudah menjelaskan tapak ini adalah sementara dan selepas projek tambakan pasir selesai, MBMB sudah merancang menyediakan lokasi lebih selesa dan kekal.
“Tugas kami juga berat untuk memastikan peniaga mendapat pulangan apabila berniaga di sini sebab itu ia perlu dipromosikan untuk membantu peniaga,”jelasnya.
Tambahnya, selain khemah, pihaknya turut memohon kepada MBMB agar peniaga makanan berat seperti asam pedas dibenarkan menggunakan kabin, dengan syarat kebersihan dan susun atur dipatuhi.
“Malah, dalam bulan Oktober nanti, kami juga berbincang dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Oktober ini untuk memberi kursus perniagaan makanan melalui MBMB kepada peniaga.
“Daripada lebih 100 peniaga, kira-kira 70 peratus telah menyatakan persetujuan dan sebahagiannya sudah mendaftar malah ada juga peniaga baharu yang berminat tetapi jumlah tapak yang disediakan masih belum mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette
















