ISKANDAR PUTERI – Pengendali Bangkok United tidak menyangka semangat juang ditunjukkan pemainnya pada awal perlawanan seakan terkulai layu selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama di babak kedua perlawanan malam tadi.
Totchtawan Sripan menyifatkan itu antara punca skuad kendaliannya tumpas 0-4 kepada JDT pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
Menurutnya, gol tersebut nyata telah merentap semangat kesebelasan skuad Bangkok Angels itu hingga menyaksikan gawang mereka dibolosi lagi selepas itu oleh jentera serangan skuad Harimau Selatan.
“Kami mengharungi perlawanan dengan baik terutamanya bagi tempoh 15 minit di babak pertama dan kami juga ada memiliki peluang-peluang yang baik untuk menjaringkan gol.
“Bagaimanapun pada babak kedua, gol awal yang dijaringkan oleh JDT ternyata mengejutkan kami.
“Malah, selepas jaringan tersebut pemain-pemain JDT kemudiannya dilihat mengatur asakan bertali arus ke pintu gol kami hingga berjaya menambah jaringan,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi berkenaan, kedua-dua pasukan sekadar terikat tanpa jaringan pada babak pertama, namun JDT mula merobek gawang pelawat sebaik babak kedua bersambung menerusi jaringan penyerang import, Bergson Da Silva.
Gol berkenaan kemudiannya menyasikan seorang lagi penyerang, Joao Figueiredo menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 sebelum Bergson meledak dua gol pada minit ke-73 dan pada masa kecederaan bagi melengkapkan hattrik pada aksi berkenaan.
Pada aksi berkenaan juga Bangkok United hampir membuka jaringan apabila Muhsen Al Ghassani dijatuhkan dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan Kim Heegon menafikan sepakan penalti berkenaan setelah merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).
Sementara itu, Totchtawan enggan mengulas lanjut berhubung insiden tersebut yang dilihat berkemunginan boleh mengubah keputusan perlawanan.
“Saya tidak dapmerebutat mengulas mengenai perkara itu,” katanya.- MalaysiaGazette
















