Video tular memaparkan seolah-olah berlaku cubaan samun oleh tiga lelaki berpakaian hitam (dalam bulatan) yang mengejar sebuah kereta Perodua Myvi dipandu peniaga lelaki berusia 28 tahun di Lorong Pokok Mangga 4, Pokok Mangga, jam 12.45 tengah malam 19 September lalu yang tular hari ini.

MELAKA – Polis menafikan video tular mengenai kejadian cubaan samun terhadap seorang pemandu di Pokok Mangga di sini, sebaliknya ia hanyalah salah faham ketika operasi penguatkuasaan warga asing oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya mengesan dakwaan itu menerusi satu rakaman video berdurasi 1 minit 37 saat yang dimuat naik dan tular di aplikasi Facebook oleh seorang pemilik akaun menggunakan nama ‘Tuan Pang’.

Menurutnya, rakaman itu memaparkan seolah-olah berlaku cubaan samun oleh tiga lelaki berpakaian hitam yang mengejar sebuah kereta Perodua Myvi dipandu peniaga lelaki berusia 28 tahun.

“Kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah malam 19 September lalu ketika peniaga lelaki berusia 28 tahun itu memandu Perodua Myvi melalui lorong gelap di Lorong Pokok Mangga 4.

“Peniaga terbabit bagaimanapun tersalah anggap tindakan anggota JKDM yang sedang menjalankan operasi terhadap warga asing apabila dia dihampiri tiga lelaki berpakaian hitam yang tiba-tiba keluar dari lorong dan cuba membuka pintu kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

 

Tambahnya, terkejut dengan tindakan itu, mangsa segera memecut kereta dan melarikan diri sebelum membuat laporan polis pada jam 6.08 petang hari sama.

Bagaimanapun, Christopher berkata siasatan lanjut mendapati, satu laporan polis lain mengenai kes sama telah dibuat pada jam 3.29 pagi.

“Pemeriksaan mendapati tiga individu berpakaian hitam yang disyaki pengadu sebagai penjenayah itu sebenarnya adalah anggota penguat kuasa JKDM yang sedang melaksanakan operasi warga asing di lokasi berkenaan.

“Pengadu secara kebetulan melalui kawasan operasi menyebabkan pasukan penguat kuasa mengesyaki peniaga itu ada kaitan dengan siasatan dan bertindak mengejarnya,” jelasnya.

Menurut Christopher, kedua-dua pihak kemudiannya hadir ke Balai Polis Ayer Keroh dan bersetuju kejadian itu hanyalah salah faham, sekali gus menamatkan siasatan kes berkenaan.

Dalam operasi tersebut, katanya, JKDM menahan tiga warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah yang mana kes itu disiasat mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Seksyen 50 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

“Sebarang maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam sebaiknya dirujuk terus kepada pihak polis untuk pengesahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast