Anwar Ibrahim

MELAKA – Perdana Menteri menegaskan Malaysia komited membangunkan sektor pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan, seiring dengan nilai Malaysia Madani termasuk isu pelepasan karbon industri penerbangan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan pelancongan tidak boleh dikejar sewenang-wenangnya, sebaliknya mesti berlandaskan prinsip kelestarian dan nilai bersama.

“Kempen Visit Malaysia 2026 bukan sekadar tentang angka, tetapi satu pernyataan nilai dan tidak boleh mengejar pelancongan semata-mata dengan apa cara sekalipun.

“Sebaliknya kita mesti membangunkan pelancongan yang lestari, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) ke-7 di Banda Hilir di sini hari ini yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung UN Tourism, Zurab Pololikashvili.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi acara amat bertepatan kerana negeri itu menjadi pusat pertemuan masyarakat, barangan dan budaya sejak abad ke-15

“Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Melaka berdiri di persimpangan sejarah dan kemodenan, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengekalkan warisan silam dan melangkah maju dengan pembangunan moden.

“Nilai-nilai Malaysia Madani seperti kelestarian, kepedulian, hormat, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan menjadi asas strategi pembangunan pelancongan negara,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia memberi tumpuan kepada segmen pelancongan bernilai tinggi seperti ekopelancongan, pelancongan lasak, pelancongan mesra Muslim, kesihatan dan perubatan, pendidikan, acara perniagaan serta hab nomad digital.

Menyentuh isu pelepasan karbon, khususnya penerbangan yang menyumbang hampir separuh pelepasan karbon sektor pelancongan, Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang melabur dalam penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

“Fasiliti berasaskan biojisim pertama dijangka beroperasi menjelang 2027 bagi mengurangkan karbon selain membuka peluang industri hijau dan penciptaan pekerjaan baharu.

“Tiada satu negara pun mampu melakukan anjakan besar industri ini secara bersendirian sebaliknya kerjasama serantau dan global amat penting demi masa depan pelancongan yang lebih lestari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast