Tertuduh, Anuar Baharin, 30, pemandu pikap Jeni's Mitsubishi Triton mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mencederakan lima pemandu lain di Lebuh AMJ, Melaka , 25 September 2025.

 

 

MELAKA – Seorang pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mencederakan lima pemandu lain, minggu lalu.

Tertuduh, Anuar Baharin, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu pacuan empat roda didapati positif methamphetamine di dalam badannya hasil ujian saringan awal air kencing sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Kesalahan itu dilakukan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Malim dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 6.35 pagi 25 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tujuh tahun sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan jika didapati bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana tertuduh hanya berpendapatan bulanan kira-kira RM1,500 sebagai pekerja kedai makan untuk menyara dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen digantung sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 4 November ini.

MalaysiaGazette pada 25 September lalu melaporkan kejadian tular di media sosial rakaman video papan pemuka nahas terbabit yang menunjukkan sebuah pikap tiba-tiba ‘terpelanting’ ke arah beberapa buah kenderaan dari arah hadapan ketika sedang menunggu lampu isyarat merah di simpang Lebuh AMJ

Pikap jenis Mitsubishi Triton yang datang dari arah Bandar Melaka dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh dua buah BMW, Perodua Axia dan Myvi, serta sebuah Nissan Almera.

Nahas turut mengakibatkan tertuduh dan lima yang lain cedera dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast