Chef Martin (kiri) terhibur dengan gelagat Ab Rauf ketika menjalankan rakaman dokumentari pelancongan masakan di sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka.

MELAKA – Chef selebriti dunia, Martin Yan, yang terkenal dengan program masakan popular Yan Can Cook, menyatakan kesediaannya untuk menjadi duta kulinari dan pelancongan Melaka.

Chef berusia 75 tahun itu mengakui keunikan Melaka yang penuh dengan tenaga, warna, budaya serta kepelbagaian makanan membuatkannya kembali ke sini sebanyak tujuh kali dalam tempoh dua setengah tahun.

“Melaka bandar penuh tenaga, warna, budaya dan makanan luar biasa membuatkan saya tertarik untuk menjadi duta pelancongan menerusi masakan Melaka.

“Rakyat dunia harus datang ke sini, nikmati sungai bersejarah, mural, seni bina dan sajian asli Malaysia sehinggakan ia sudah menjadi rumah kedua saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalani rakaman dokumentari pelancongan masakan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini.

Mengulas lanjut Martin berkata, program terbaharunya Taste of Malaysia kini ditayangkan di 65 negara, sekali gus menjadi jambatan memperkenalkan keindahan dan kepelbagaian kulinari negara ini di peringkat antarabangsa.

“Malaysia masih memiliki sungai terpelihara yang menjadikan ikan sungai dan makanan laut tempatan antara terbaik di dunia.

“Saya selalu bergurau, sebelum pasport anda tamat tempoh, datanglah ke Melaka dan memandangkan tahun depan Tahun Melawat Malaysia 2026, ia adalah masa terbaik untuk pelancong ke sini,” katanya.

Martin turut menyifatkan warisan Melaka sebagai ‘harta dunia’ yang berpotensi menjadi tarikan utama sempena VM2026.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, biarpun ramai yang tahu hobinya suka memasak, namun tidak pernah terlintas di fikirannya dapat bergandingan bersebelahan dengan figura tokoh masakan terkenal dunia.

“Apatah lagi dalam penyediaan masakan istimewa Melaka iaitu ‘Ikan Jenahak Masak Asam Pedas Melaka’ dan Daging Kambing Masak Sambal Tumis.

“Gelagat penuh humor dan ‘tenaga luar biasa’ Chef Martin Yan sangat menghiburkan dan menghidupkan suasana,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin dengan pengaruh ‘jenama’ Chef Martin Yan, selebriti itu mampu memperkenalkan masakan warisan negeri Melaka ke pentas dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast