Foto Arkib MG

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat negeri dan akar umbi menyatakan rasa tidak puas hati dan kecewa mereka terhadap sidang media yang dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam.

Datuk Jasri Jamaludin dan Mohd Yazid Mohd Yunus yang mewakili Bersatu/ Perikatan Nasional Pahang mendesak Lembaga Disiplin parti untuk segera menyiasat sidang media tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terlibat tanpa mengira jawatan atau kedudukan.

Mereka juga mendesak agar disiplin parti diperkukuh supaya tidak wujud sebarang ruang untuk tindakan bersifat sabotaj, fitnah atau perpecahan dalaman.

”Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan prinsip disiplin, tataetika, dan semangat kesetiaan yang menjadi tonggak perjuangan Bersatu. Perbuatan mengadakan sidang media tanpa merujuk kepimpinan parti hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta mencemar imej parti di mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, sepuluh Ahli Dewan Negeri Selangor dalam kenyataan bersama hari ini, menyifatkan tindakan Wan Saiful; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali; Ketua Bahagian Ampang Isa Saidi; dan Ketua Bahagian Ipoh Timur, Muhd Fadhli Ismail sebagai tidak bertanggungjawab.

”Ia memperlihatkan  usaha terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan komplot jahat mereka sendiri, termasuk percubaan menjatuhkan Presiden melalui gerakan Statutory Declaration (SD) yang nyata tidak mendapat sambutan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, fitnah terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga telah diulang-ulang banyak kali sedangkan kes tersebut telah disiasat Polis Diraja Malaysia lebih dari lapan bulan.

Katanya, pada 9 Januari 2020, Peguam Negara mengesahkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada kes untuk pertuduhan selepas semua bukti dan keterangan diteliti.

Syor berkenaan diterima Jabatan Peguam Negara.

Kesemua 10 ADUN Selangor itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden dan Setiausaha Agung Besatu sambil mendesak Lembaga Disiplin mengambil tindakan tegas terhadap Wan Saiful dan kumpulannya.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mengecam kenyataan terbuka di media yang jelas tidak menguntungkan parti, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan.

Tegasnya, sebarang rasa tidak puas hati atau bela diri mestilah dikemukakan melalui saluran betul iaitu prosiding di hadapan Lembaga Disiplin dan bukan menerusi sidang media atau kenyataan terbuka.

Razali menggesa semua ahli dan pimpinan Bersatu untuk kembali berpegang kepada disiplin parti, mengutamakan kesatuan dan menghormati institusi serta proses dalaman.

“Bersatu tidak boleh dijadikan medan pertembungan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan perjuangan parti.

“Demi kelangsungan parti, semua pihak mesti kembali kepada semangat asal penubuhan Bersatu iaitu berjuang untuk rakyat dan negara, bukan untuk diri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara yang sama turut disuarakan Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang yang menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai biadap dan menjatuhkan kredibiliti perjuangan parti.

Beliau turut mendesak agar Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dipecat kerana menjatuhkan maruah parti dengan mengeluarkan kritikan terbuka termasuk terhadap Azmin. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast