MELAKA – Dua beranak cedera selepas kereta dinaiki terbalik dirempuh Perodua Myvi dalam nahas membabitkan dua kenderaan di persimpangan Jalan Tun Ali–Jalan Graha Maju, di sini awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi ketika lelaki berusia 56 tahun itu sedang dalam perjalanan membawa anak perempuannnya, 18 tahun untuk menghadiri temu duga kerja.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah ketika itu dalam perjalanan dari Jalan Tun Ali menuju ke persimpangan Jalan Panglima Awang.

“Ketika mangsa sedang keluar simpang menuju ke jalan Graha Makmur, datang sebuah Myvi lain bewarna perak dari arah Jalan Panglima Awang menuju ke arah Jalan Kampung Morten gagal mengelak dan membrek.
“Akibatnya, Myvi perak bertembung dengan sisi kanan kenderaan Myvi merah menyebabkan kereta itu terbalik.
“Lelaki berkenaan ketika itu dalam perjalanan membawa anak perempuannnya berusia 18 tahun untuk temu duga kerja,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Menurut Christoper, nahas mengakibatkan lelaki berkenaan cedera pada bahagian tulang rusuk kanan manakala anaknya mengalami luka di tangan sebelum kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai atau berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette
















