MELAKA – Bayi lelaki pengidap sindrom down yang dibuang ibunya ketika baru berusia seminggu di pondok bas hadapan Surau Batu 5, Alai di sini minggu lalu akan dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarahnya, Halyjah Muhamad berkata, bayi orang kelainan upaya (OKU) itu bagaimanapun ketika ini masih dirawat di Hospital Melaka dan pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada doktor.

“Selepas ini, kami akan tempatkan bayi ini di institusi kanak-kanak OKU di bawah JKM jika masih tiada orang yang layak dan sesuai untuk menjaganya.
“JKM perlu menyelamatkan bayi ini selaras dengan peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

MalaysiaGazette pada 26 September lalu melaporkan, bayi yang masih bertali pusat itu ditemui jemaah surau berkenaan pada kira-kira jam 9.20 malam 25 September sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Bayi seberat berat 2.7 kilogram itu diletakkan dalam keadaan berselimut dengan kain lampin dalam kotak tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat. – MalaysiaGazette
















