MELAKA – Semua masjid dan surau di negeri ini diarah melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat Jumaat dan solat fardu bermula esok sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, seruan itu juga sebagai simbol kecaman terhadap gangguan tentera Israel ke atas konvoi bantuan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
“Kerajaan dan rakyat negeri Melaka mengecam tindakan gangguan ke atas konvoi GSF, justeru menyeru seluruh masjid dan surau di negeri ini diseru melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat Jumaat mulai esok serta dalam solat fardu.
“Tujuannya bagi memohon keselamatan, perlindungan dan pembebasan kepada para sukarelawan pasukan GSF khususnya rakyat Malaysia yang terlibat, selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut mengajak umat Islam agar bersatu hati mendoakan agar misi kemanusiaan itu berjalan lancar dan para sukarelawan dikurniakan kekuatan serta kesihatan yang baik.
“Semoga usaha murni ini mendapat rahmat dan pertolongan Allah SWT,”katanya. – MalaysiaGazette
















