MELAKA – Wakil rakyat, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menggesa kerajaan dan rakyat menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke ibu negara hujung bulan ini sekiranya semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel tidak dibebaskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu yang mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di media sosial berkata, rakyat tidak seharusnya memikirkan apakah kesannya kepada negara jika tindakan menghalang Trump mendapat sokongan masyarakat.
“Kalau kita tidak halang (Trump) apa pula jadi pada saudara kita yang sedang ditahan?
“Tiada pembebasan GSF, tiada Trump di Malaysia,” tulis beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital melalui status yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika membalas komen ditinggalkan pengikutnya pada status berkenaan yang bertanya apakah kemungkinan yang terjadi pada Malaysia sekiranya terjadi perkara buruk kepada Presiden AS itu di negara ini.
Pemimpin Parti Republikan itu pernah terselamat daripada dua cubaan bunuh di Pennsylvania pada Julai tahun lalu dengan salah satu peluru mencederakan telinga kanannya.
Satu lagi percubaan dua bulan kemudian digagalkan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia di padang golf di Florida.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.
Beliau menegaskan, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin selain perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran dengan cara berstrategi.
Terdahulu, media melaporkan seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas Zinonis setakat di perairan Gaza pagi ini.
Mereka termasuk penyanyi, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
Turut ditahan penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu.
Menurut sistem pengesan SNCC, Grande Blu dipintas pada 12.58 tengah malam waktu Gaza manakala Hio pada 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.
SNCC memaklumkan setakat ini, 10 kapal berada pada status ‘diserang’ manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat ‘kecemasan’. – MalaysiaGazette
















