Antara barang kes yang dirampas.

MELAKA – Tindakan seorang wanita bersama suaminya melakukan jenayah selain merekrut dua pelajar sekolah untuk mencuri tabung masjid dan surau selain motosikal akhirnya tumpas minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita berusia 31 tahun dan suaminya, 29, adalah antara 12 individu yang ditahan dalam Op Pintu/Lejang Khas 2025 bermula 22 hingga 28 September lalu.

Menurutnya, dalam operasi Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka itu, tiga kumpulan penjenayah yang aktif mencuri kenderaan, pecah masuk rumah serta pecah tabung masjid dan surau tumpas.

“Geng Abang Wan yang dianggotai suami isteri berkenaan dikesan melakukan jenayah kegiatan pecah tabung masjid dan surau serta curi motosikal.

“Malah, mereka turut merekrut dua pelajar sekolah masing-masing lelaki dan perempuan berusia 13 dan 15 tahun itu sebagai budak suruhan dalam jenayah itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Menurutnya, dalam dua lagi serbuan berasingan, pihaknya berjaya menumpaskan dua lagi kumpulan jenayah iaitu Geng Ahtee dan Geng Ahsoon Pekong masing-masing dianggotai tiga lelaki yang terbabit kes pecah rumah, curi motosikal dan kenderaan lama.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati sembilan daripada kesemua 12 suspek termasuk dua lagi penjenayah masing-masing bergerak solo berumur antara 13 dan 46 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Dengan penahanan kesemua suspek, kita berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga awal September lalu,” ujarnya.

Dzulkhairi menambah, polis turut merampas empat kereta, enam motosikal, lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah parang dan peralatan pecah rumah serta curi kenderaan.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast