Skrin yang memaparkan perkembangan terkini delegasi Malaysia yang telah ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla, di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto SADIQ SANI, 02 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung penahanan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera Israel dan menegaskan bahawa misi kemanusiaan tidak seharusnya diperlakukan sebagai jenayah.

Beliau berkata, MIC menggesa supaya semua aktivis yang berada di atas kapal terbabit dibebaskan dengan segera tanpa syarat.

“Kami merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kedudukan diplomatik Malaysia yang dihormati di peringkat antarabangsa untuk mendesak pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan,” katanya menerusi hantaran Facebook. 

Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran

Menurut Vigneswaran, tindakan memintas misi kemanusiaan di perairan antarabangsa menimbulkan persoalan daripada segi undang-undang antarabangsa dan merencatkan usaha global untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Sehubungan itu, beliau menggesa Wisma Putra memperhebatkan usaha melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menjamin keselamatan aktivis terbabit.

“Malaysia sekian lama menjadi pendokong keadilan, keamanan dan misi kemanusiaan. MIC berdiri teguh menyokong pendirian kerajaan dalam memperjuangkan hak asasi manusia, menegakkan keadilan serta memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Setakat ini, 12 peserta Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan selepas kapal mereka dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa awal pagi tadi. – MalaysiaGazette

GSF:10 delegasi Malaysia terputus hubungan, telefon sudah dicampak ke laut

PM guna pihak berkepentingan, saluran diplomatik bebaskan sukarelawan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast