ALOR GAJAH – Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Gadek ketika memancing berhampiran Balai Polis Gadek di sini malam tadi.
Mangsa, Otman Ahmad, 76, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 10.51 malam selepas 50 minit operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima menerima panggilan kecemasan daripada anak saudara mangsa pada pukul 8.49 malam.

“Wanita berkenaan memberitahu bapa saudaranya itu yang mengidap sakit jantung dan sawan hilang sejak petang semalam dan hanya basikalnya dilihat berada di tebing sungai dipercayai terjatuh ketika memancing.
“Seramai 17 anggota dari BBP Alor Gajah dibantu PPDA dari BBP Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi melaksanakan operasi menggunakan teknik half circle dan wiper search pattern pada jarak satu meter dari barang peribadi mangsa ditinggalkan,” katanya.
Zulkhairani berkata, selepas kira-kira 50 minit operasi dijalankan, mangsa akhirnya ditemukan pada pukul 10.51 malam di dasar sungai sedalam dua meter dalam keadaan telangkup.

“Mangsa yang mempunyai penyakit sawan dan jantung disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Keadaan arus sungai yang tidak begitu deras serta paras air yang cetek malam tadi membolehkan PPDA memberi tumpuan segera pada kawasan dipercayai mangsa terjatuh.
“PPDA perlu menyegerakan operasi kerana jika pintu air dibuka keesokan harinya (hari ini), arus dijangka lebih deras dan akan menyukarkan operasi kerana mayat mungkin dibawa arus lebih jauh,” jelasnya.
Tambahnya, operasi keseluruhannya melibatkan 25 anggota terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – MalaysiaGazette
















