KEPALA BATAS – Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia membuka ruang penting untuk negara ini menggunakan platform ASEAN bagi menyampaikan mesej secara bersemuka berhubung penindasan terhadap Palestin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kehadiran Trump itu juga bukan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya merupakan tanggungjawab rasmi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Lawatan ini tidak bermaksud kita berkompromi atau melupakan perjuangan rakyat Palestin.
“Sejak dahulu sehingga kini, Malaysia kekal konsisten dan teguh berdiri bersama Palestin, menentang sebarang bentuk penindasan, kezaliman dan pendudukan haram oleh rejim Zionis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menegaskan, pendirian Malaysia jelas iaitu menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin serta menyokong penuh hak mereka untuk merdeka dan berdaulat.
“Malaysia percaya, pendirian tegas dan konsisten di pentas antarabangsa adalah bukti bahawa isu Palestin tidak pernah luput daripada keutamaan kita.
“Selagi kezaliman berlaku, selagi itu Malaysia akan bersuara lantang di hadapan mana-mana kuasa besar sekalipun,” katanya.
Semalam, Pemuda UMNO memberi kata dua kepada kerajaan agar membatalkan jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekiranya semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) terutamanya rakyat Malaysia tidak dibebaskan Israel.
Selain media turut melaporkan Pas menyatakan kesediaan untuk memimpin satu protes besar-besaran rentas kaum dan agama sekiranya Donald Trump hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan. – MalaysiaGazette
















