Peserta wanita antara ribuan rakyat Malaysia berhimpun pada Perhimpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat Jalan Tun Razak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Wanita bukan hanya penerima kesedaran isu Palestin sebaliknya mereka adalah penyokong dan penggerak suara keadulan, tegas Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM).

Pengerusinya, Prof. Dr Zuriati Ahmad Zukarnain menambah, wanita mempunyai peranan penting dalam mendukung gerakan kemanusiaan melalui advokasi, penyebaran maklumat, penggerakan solidariti, sokongan psikososial dan termasuk juga penglibatan langsung di lapangan di kawasan konflik.

“Apabila bantuan disekat, kapal dihalang berlabuh, dan suara tertindas disenyapkan, maka amanah Islam menuntut agar suara wanita Islam turut lantang melaungkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menzahirkan kecaman terhadap tindakan Israel kepada konvoi Global Sumud Flotilla (GSF), semalam.

GSF yang disertai hampir 500 aktivis daripada 44 buah negara turut disertai sukarelawan wanita termasuk dari Malaysia.

Kesemua kapal yang membawa bekalan kemanusiaan ke Gaza dipintas oleh tentera Israel manakala semua sukarelawan terlibat ditahan.

Tambah Zuriati, MAWIM menyeru seluruh masyarakat, khususnya wanita Islam untuk terus mengutuk tindakan genosid oleh Israel dan menyokong usaha solidariti kemanusiaan demi pembelaan mereka yang tertindas di Gaza tanpa mengira jantina, bangsa, negara atau agama.

MAWIM juga katanya, menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas dan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten menyokong konvoi GSF, membela nasib rakyat Palestin, menolak sebarang bentuk penindasan, serta mendukung usaha-usaha antarabangsa untuk menamatkan kekejaman dan sekatan yang tidak berperikemanusiaan.

Sokongan itu adalah tanda bahawa suara kepimpinan negara dan suara wanita Islam Malaysia bergema seiring demi menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast