MELAKA – Seorang ‘Pak Arab’ direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini kerana disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya yang juga seorang cucu kerabat diraja di sebuah hotel di sini semalam.
Perintah reman terhadap lelaki warga Mesir berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bermula hari ini sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi semalam di sebuah hotel di Banda Hilir semasa wanita berusia 57 tahun itu terjumpa satu kotak rokok dipercayai milik suaminya.
“Kotak rokok di bawah bantal suaminya itu mengandungi satu tiub kaca dan hirisan daun kering dipercayai dadah jenis ganja dan satu paket kecil bahan dipercayai dadah jenis syabu.
“Apabila menyedari dadah itu tiada, berlaku pergaduhan sebelum suspek mencekik leher serta menekup muka isterinya itu yang merupakan ahli perniagaan hartanah di Selangor menggunakan bantal,” katanya.
Menurut sumber, suspek kemudian memaksa pengadu untuk menyerahkan semula dadah berkenaan bagaimanapun menjumpai bahan terlarang itu di dalam beg tangan isterinya dan keluar dari hotel.
Tambah sumber, sebaik pulang semula ke hotel kira-kira jam 11.30 pagi, suspek membalut hirisan daun kering tersebut dan menghisapnya sambil meneguk minuman keras di hadapan wanita tersebut.
“Selepas itu, berlaku pertengkaran mulut sehingga suspek menampar pipi pengadu, memukul perutnya beberapa kali dan mengangkatnya menghala ke balkoni seolah-olah mahu menolak isterinya ke bawah.
“Bagaimanapun pintu balkoni berkunci dan suspek juga ada mengugut ingin membunuh pengadu,” katanya sambil menambah pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu.
Sumber berkata akibat pergaduhan itu, pengadu merasa sakit di muka, leher, perut dan tangan sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka dan membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir, petang semalam.
“Susulan itu, suspek ditahan untuk permohonan reman hari ini dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu positif ganja,” katanya. – MalaysiaGazette
















