Gambar hiasan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2025.

MELAKA – Seramai banyak 758 pesakit mental dikenal pasti masih menerima rawatan di semua klinik kerajaan di negeri ini sejak empat tahun lalu, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 158 lagi pesakit yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Melaka kini meneruskan rawatan susulan di klinik kesihatan di seluruh negeri.

“Daripada jumlah keseluruhan pesakit, seramai 362 atau 48 peratus mengalami masalah kemurungan (depresi), 182 pesakit (24 peratus) keresahan melampau dan bakinya 136 lagi atau 18 peratus menghidap skizofrenia.

“Bagaimanapun, data ini hanya melibatkan pesakit yang dirawat di klinik kesihatan kerajaan tidak termasuk mereka yang mendapat rawatan terus di hospital atau pusat rawatan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Hee Sem menyantuni peserta pameran selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) kini memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental di peringkat akar umbi dengan menyediakan saringan kesihatan mental.

“Ini termasuklah pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan, serta khidmat kaunseling dan intervensi psikososial ringan oleh pegawai psikologi atau kaunselor.

“Pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke Hospital Melaka yang menyediakan perkhidmatan psikiatri, perubatan mental, rawatan pesakit luar dan pesakit dalam, selain pusat komuniti seperti Program Mentari yang membantu pesakit kembali berfungsi dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memperkenalkan platform MyMinda dalam aplikasi MySejahtera dan portal Mentari bagi membolehkan orang ramai melakukan saringan kendiri kesihatan mental dan membuat temu janji berjumpa doktor untuk penilaian lanjut.

“Justeru, masyarakat diingatkan agar tidak menganggap isu kesihatan mental dan bunuh diri sebagai topik tabu, sebaliknya perlu dibincangkan secara terbuka bagi menghapuskan stigma terhadap individu yang terkesan.

“Topik kesihatan mental bukan lagi isu sampingan, tetapi menyentuh kesejahteraan rakyat secara langsung dan kita mesti berani bercakap dan bertindak supaya lebih ramai tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa malu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hee Sem berkata statistik kebangsaan menunjukkan bilangan kematian akibat bunuh diri meningkat daripada 641 kes pada tahun 2020 kepada 1,068 kes pada tahun 2023.

Ini menunjukkan kadar bunuh diri meningkat daripada 2.0 kepada 3.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 turut mendapati 13.1 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai fikiran bunuh diri, berbanding 10 peratus pada 2017, manakala 9.5 peratus pernah cuba membunuh diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast