SERDANG – Delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) mengambil kata sepakat untuk bersetuju menandatangani surat pengusiran jamin pembebasan segera sekiranya ditahan oleh tentera Israel.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Prof Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan faktor tidak mahu mengambil risiko berpanjangan susulan penahanan tersebut.
Namun beliau menegaskan, kesepakatan itu bukan bermaksud semua delegasi negara berasa gentar apabila akan memasuki zon kuning dalam tempoh kurang 24 jam.
“Timbul di sini ada perbincangan apabila kami pulang nanti, kami takut, tidak. Kami lihat objektif kami untuk pecah masuk sudah sampai.
“Kami juga mengambil kira faktor terkini yang mana Israel seakan semakin mengganas terhadap tahanan Global Sumud Flotilla, jadi ini terbaik,” katanya menerusi panggilan video secara langsung di atas kapal Conscience di Laut Mediterranen pada sidang media di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) hari ini.

Delegasi Malaysia dalam FFCxTMTGM yang diketuai MyCARE membawa lapan aktivis tempatan sedang belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layer Umm Saad menuju ke pantai Gaza.
Mohd. Afandi menambah, kapten kapal turut memberi kebebasan kepada semua peserta sama ada memilih pulang segera atau tidak menandatangani dokumen pulang segera.
“Itu terpulang tapi kami sebulat suara delegasi Malaysia tak nak beri tekanan kepada negara, pemimpin negara selain peserta sendiri sebab tidak tahu layanan akan datang daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kesemua lapan kapal layar TMTG telah bergabung dengan kapal Conscience pukul 11.30 pagi tadi waktu Malaysia.
“Kesemua kapal masih berlegar di perairan antarabangsa untuk menunggu kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam,” katanya.

Sementara itu, Conscience merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Mereka seramai 93 perserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lepas.
Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal iaitu Prof Emeritus Dr MohdAlauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Dua pensyarah turut serta iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Pada masa sama, doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan orang delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette















