Tangkap layar video tular menunjukkan motosikal (dalam bulatan) terjatuh selepas bergesel dengan Perodua Axia.

 

MELAKA – Polis menafikan dakwaan kemalangan tular sebuah kereta dan motosikal di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah –Jasin (AMJ) dekat Cheng yang berlaku kira-kira jam 7.35 pagi semalam adalah kes langgar lari seperti didakwa di media sosial.

Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemandu wanita berusia 59 tahun kereta jenis Perodua Axia itu telah tampil membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dari arah Taman Bachang menuju ke Masjid Tanah membelok ke kiri dan menghimpit lorong paling kiri tanpa menyedari kehadiran motosikal ditunggang lelaki berusia 47 tahun.

“Akibatnya, berlaku pergeselan menyebabkan penunggang motosikal terjatuh dan mengalami luka di dahi, muka, tangan serta kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

 

 

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Cheng untuk menerima rawatan lanjut sebelum kedua-dua pihak berbincang untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Namun pemandu kereta datang terbabit telah hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk membuat laporan.

“Siasatan dijalankan di bawah Rule 10 LN166/59 dan kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang tidak menyedari kehadiran motorsikal di sebelah kiri sehingga menyebabkan pergeselan,” katanya.

Tular komen warga net yang menyangkakan kejadian adalah kes langgar lari.

 

 

Sehubungan itu, Christopher berkata, kes berkenaan ini bukan kes langgar lari seperti yang ditularkan dan berharap orang ramai tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Semalam, tular video berdurasi tujuh saat menujukkan kejadian itu sehingga mencetuskan komen dalam kalangan warga net yang mendakwa pemandu Perodua Axia berkenaan melarikan diri selepas nahas itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast