MELAKA – Seorang penunggang Grab maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam longkang ketika cuba memotong sebuah van di Jalan Sungai Udang – Tangga Batu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Azli Syah Mohd Sobri, 20, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala manakala pembonceng, Muhammad Shafiq Sahadan, 26, cedera di kaki.
Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda RSX dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menuju ke Tangga Batu.
“Sebaik tiba ditempat kejadian, mangsa cuba memotong sebuah van jenis Ford Econovan melalui kiri jalan yang ketika itu van dipandu lelaki berusia 66 tahun dipercayai sedang memperlahankan kenderaan untuk membelok ke kiri.
“Akibatnya, penunggang motosikal gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke dalam longkang di tepi jalan menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pembonceng yang juga rakan serumah mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,
“Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup atau dashcam awam ditemukan di lokasi, namun terdapat saksi bebas yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















