ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menempelak sikap segelintir ibu bapa yang mengugut kerajaan akan hilang undi sekiranya meneruskan penggunaan rotan dalam usaha mendidik pelajar.

Wakil rakyat popular yang mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di media sosial berkata, tindakan melarang guru menggunakan rotan tanpa menilai situasi sebenar hanya akan melemahkan peranan pendidik dalam membentuk akhlak dan sahsiah pelajar.

Menurutnya, ibu bapa tidak sewajarnya menjadikan ia sebagai ugutan politik selagi hukuman rotan dijalankan secara berhemah bertujuan mendidik.

“Mak bapak (bapa) tak perlu ugut-ugut pasal anak mereka bakal pengundi. Lebih baik hilang seorang pengundi daripada menghasilkan seorang penjenayah.

“Rotan itu sakit, tapi lebih sakit kalau kita membiarkan kerosakan (anak) di hadapan mata,” katanya menerusi dua status yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya hari ini.

Mohammad Noor Helmy berkata, beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menegaskan kementerian mengutamakan pendekatan berhemah dan berperikemanusiaan berbanding rotan.

Katanya, ketegasan guru sewaktu zaman persekolahan dahulu menjadi tunjang kepada kejayaan ramai pemimpin dan masyarakat hari ini.

“Saya sendiri antara yang pernah merasa tangan berbirat kerana ponteng mengaji dan tidak hafal doa. Tapi daripada rotan itulah datangnya pengajaran dan rasa hormat pada guru.

“Kerana ketegasan merekalah saya jadi seperti hari ini. Saya janji takkan kecewakan mereka,” tulisnya lagi yang juga merupakan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital

Dalam statusnya itu, Mohammad Noor Helmy berkongsi kisah dua guru yang banyak membentuk dirinya, mendiang Cikgu Hau Kim Chai dan Allahyarham Ustaz Abdullah Tahir, warden asrama Sekolah Tinggi Melaka yang digambarkan sebagai pendidik tegas tetapi berhati besar.

“Saya janji dengan cikgu, dalam Duyong ini selagi ada cikgu merotan anak murid kerana sikap anak murid yang keterlaluan, cikgu itu akan saya pertahankan. Kena sebat tahun 1994, sampai sekarang kesan hitam itu ada lagi,” tulisnya.

Beliau berkata, walaupun hukuman rotan dianggap keras, ia lahir daripada kasih sayang dan keikhlasan guru dalam mendidik anak bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast