Dr. Mohd. Aleef (kanan) meninjau lokasi nahas kemalangan maut semalam yang berpunca daripada tindakan penunggang motosikal melawan arus di Sungai Udang, Melaka, hari ini.

MELAKA – Nahas maut seorang penunggang motosikal dekat lampu isyarat Kompleks Penjara Sungai Udang semalam dapat dielakkan sekiranya pengguna jalan raya mengubah sikap dan tidak mengambil mudah undang-undang jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof berkata, beliau kesal kerana kemalangan itu berpunca daripada kecuaian seorang penunggang motosikal yang melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal polis juga menunjukkan semua kemudahan asas di kawasan terbabit, termasuk lampu jalan dan pencahayaan berfungsi dengan baik, sekali gus menolak punca lain tragedi pilu itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Dr. Mohd. Aleef Yusof

“Video nahas itu juga tular dan saya berasa amat sedih kerana ia berpunca daripada sikap penunggang motosikal yang memilih untuk melawan arus kerana mahu menjimatkan masa.

“Perbuatan sebegini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga membahayakan nyawa diri dan orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi nahas, di sini, petang tadi.

Dalam nahas pada jam 7.50 malam tadi, mangsa, Mohd Huzaimi Abdul Hamid, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Tindakan penunggang motosikal (dalam bulatan) melawan arus di persimpangan lampu isyarat hadapan Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka, hari ini.

Kemalangan berpunca apabila sebuah motosikal lain ditunggang Muhammad Arif Farhan Nawawi, 21, dipercayai telah melawan arus dari arah Taman Desa Taming Sari ke laluan lampu isyarat terbabit, sebelum bertembung dengan mangsa.

Mengulas lanjut, Dr Aleef berkata, beliau juga telah turun padang susulan satu lagi kejadian kemalangan maut Isnin lalu bersama jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Tengah.

Beliau turut memberikan cadangan untuk menambah baik ciri keselamatan di kawasan terbabit termasuk pembinaan speed bar, penutupan longkang dan pembinaan jejantas khas bagi penunggang motosikal serta pejalan kaki.

“Bagaimanapun, sebarang penambahbaikan ini tidak akan memberi makna jika pengguna sendiri masih berdegil dan mengabaikan peraturan jalan raya.

“Kita boleh bina jejantas dan tambah speed bar, tapi kalau sikap pengguna sendiri tidak berubah, kemalangan tetap akan berlaku sedangkan keselamatan perlu bermula dengan diri sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast