Penguat kuasa JAINJ serbu sebuah bilik yang dihuni oleh seorang duda dan isteri orang di sebuah hotel di Kluang, Johor. Foto JAINJ

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang duda  untuk meloloskan diri daripada dicekup berkhalwat tidak kesampaian selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesannya cuba keluar melalui tingkap sebuah bilik hotel di Kluang, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pihak JAINJ menjalankan operasi di sebuah hotel di daerah berkenaan selepas menerima aduan berhubung kegiatan mencurigakan di premis berkenaan.

“Selepas mengetuk pintu bilik selama hampir 10 minit, seorang wanita berpakaian lengkap dan bertudung akhirnya membuka pintu.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, dengar teriakan suara seorang penguatkuasa yang ditugaskan berkawal di belakang hotel semasa operasi tersebut sebelum menemui seorang lelaki berdiri di atas kompresor pendingin hawa.

“Lelaki itu berada dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang,” katanya dalam kenyataan.

Pemeriksaan mendapati lelaki berusia lingkungan 40-an itu berstatus duda dan bekerja di Kluang, manakala wanita berusia 30-an pula sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Difahamkan, wanita terbabit memberi alasan datang ke Kluang untuk membeli barang dan menyewa bilik hotel untuk berehat sebelum pulang ke rumah.

Kedua-duanya ditahan kerana disyaki berkhalwat dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast