MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka sedia berganding bahu dengan semua pemain industri pelancongan bagi memastikan rakyat benar-benar memanfaatkan insentif pelepasan cukai melancong dalam negara yang diumumkan Kerajaan Persekutuan hari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelbagai promosi dan pakej pelancongan menarik akan disediakan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memilih Melaka sebagai destinasi utama percutian domestik.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) supaya manfaat daripada insentif ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Melaka dan seluruh negara.
“Insentif pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 itu bukan sahaja membantu rakyat dari segi penjimatan cukai, malah memberi suntikan ekonomi kepada penggiat industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, berita baik itu juga pasti menggembirakan pengusaha hotel, ejen pelancongan, pengangkutan, kraftangan serta peniaga kecil di seluruh negeri.
“Langkah ini amat tepat pada masanya bagi merancakkan semula sektor pelancongan domestik dan memberi impak langsung kepada ekonomi setempat.
“Terima kasih atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong pembangunan pelancongan negeri melalui pendekatan menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazette
















