MELAKA – Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara disifatkan tepat bagi memperkasa sektor pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madeline Kuah Wey Lee berkata, langkah itu mampu menggalakkan lebih ramai rakyat berbelanja sekali gus memberi impak positif.
“Ini memang satu cara yang baik untuk mempromosikan VMY2026 bagi pelancongan domestik dan aktiviti riadah keluarga.
“Namun, kuasa beli yang lebih tinggi masih banyak tertumpu kepada pelancong antarabangsa yang datang ke Malaysia,” katanya ketika dihubung MalaysiaGazette hari ini.

Beliau turut menyambut baik langkah cadangan kerajaan menyediakan beberapa insentif cukai bagi sektor pelancongan dan kebudayaan.
“Namun, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada insentif untuk agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan hotel supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak,” katanya.
Jelas Madeline, pelaksanaan insentif cukai perlu mengambil kira kos operasi sebenar yang ditanggung pemain industri termasuk penggunaan tenaga kerja tempatan, kos air, elektrik serta cukai perkhidmatan.
“Kita mahu tenaga kerja tempatan yang terlatih seperti pemandu pelancong bertauliah turut diambil kira dalam pelaksanaan insentif ini.
“Begitu juga dengan operator hotel, agensi pelancongan dan semua produk berkaitan pelancongan, mereka juga perlu menikmati pengecualian,”katanya.
Tambahnya, insentif cukai ini amat menarik dan memberi harapan baharu kepada industri yang menjadi tulang belakang sektor pelancongan negara.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menambah insentif tambahan untuk menyuntik semangat mempromosikan pelancongan domestik.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelepasan cukai itu betika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan Madani pimpinan beliau dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 – MalaysiaGazette
















