Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan hari ini dijangka tidak akan membebankan rakyat dengan sebarang cukai baharu, cukai tambahan atau bayaran tambahan, kata Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, pendekatan ini diambil bagi meredakan tekanan kos sara hidup dan memudahkan operasi perniagaan serta individu, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global yang terjejas akibat perang tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump apabila mengecilkan pasaran perdagangan dunia.

“Kerajaan mengambil pendekatan mesra rakyat dan perniagaan dalam Belanjawan 2026 ini.

“Tidak ada cukai baharu, tiada cukai dan bayaran tambahan dikenakan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebelum ini, sektor industri dan perniagaan telah berdepan pelbagai tekanan kos, antaranya kenaikan tarif elektrik sebanyak 14 peratus untuk sektor komersial dan industri, pelaksanaan cukai pendapatan individu ke atas dividen sebanyak dua peratus bagi pendapatan melebihi RM100,000, serta perluasan skop cukai SST masing-masing pada kadar enam peratus dan lapan peratus.

Selain itu, penguatkuasaan e-invois ke atas syarikat dengan hasil tahunan melebihi RM500,000 serta pelaksanaan caruman wajib KWSP ke atas pekerja asing turut menambah beban operasi syarikat.

Mengulas lanjut, mengenai caruman KWSP wajib ke atas 2.5 juta pekerja asing sah yang akan bermula pada November 2025, Guan Eng berkata, terdapat segelintir majikan yang dijangka bakal  menanggung keseluruhan caruman KWSP sebanyak empat peratus iaitu dua peratus bagi bahagian pekerja dan dua peratus lagi bahagian majikan.

“Saya telah menerima maklum balas daripada beberapa majikan bahawa pekerja asing yang sedia ada tidak bersetuju dengan potongan gaji untuk caruman KWSP kerana ia tidak termaktub dalam kontrak kerja mereka.

“Justeru, bagi mengekalkan keharmonian di tempat kerja, majikan tiada pilihan selain menanggung sepenuhnya caruman KWSP tersebut,” ujarnya.

Guan Eng menambah, walaupun jumlah majikan yang berbuat demikian tidak besar, namun implikasinya tetap signifikan kerana ia boleh menyamai tambahan setengah bulan gaji setiap tahun bagi setiap pekerja asing. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast